Wednesday, March 3, 2010

KENYATAAN CAUVINIS CUEPACS GAMBARKAN KEGAGALAN ’1MALAYSIA’


Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) baru-baru ini mengejutkan ramai rakyat Malaysia dengan kenyataan berbaur cauvinis yang ’bimbang’ terhadap penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam. Perkara yang paling membimbangkan adalah – adakah ini menggambarkan komitmen majikan penjawat awam ini (Kerajaan Barisan Nasional)? Jelas sekali komitmen oleh BN yang diuar-uarkan selama ini hanya cakap kosong untuk membuai pengundi wanita demi memenangi pilihanraya. Dasar kesaksamaan gender untuk memperkasakan wanita yang digembar-gemburkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebenarnya masih dalam kertas, tanpa diketahui dan difahami oleh penjawat awam sendiri, jauh sekali untuk digunapakai!

Sayang sekali tetapi inilah realiti apabila pemikiran penjawat awam tidak dipupuk kepada soal kenegaraan demi kemajuan negara; tetapi lebih kepada ’menurut’ arus pemikiran majikan. Sudahlah rakyat Malaysia dibeza-bezakan dari segi kaum; kini penjawat awam juga dibeza-bezakan mengikut jantina pula. Langsung tidak ada pertimbangan kepada isu ’merit’ dan ’gender’ apabila mengemukakan pandangan ini; malah dengan melulu menakut-nakutkan orangramai bahawa dengan ramainya penjawat awam wanita akan ’mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara’? Pemikiran apa seumpama ini? Taksub sekali! Inikah konsep ’1Malaysia’?

Secara perbandingan; Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat yang belumpun berusia 2 tahun telahpun (antara lain) melaksanakan cuti bersalin 90 hari bagi pekerja awam wanita dan cuti ’bapa’ (paternal) bagi pekerja awam lelaki yang isterinya bersalin selama 2 minggu. CUEPACS yang telah beroperasi lebih dari 50 tahun, baru nak mencadangkan cuti bersalin selama 90 hari kepada Kerajaan Persekutuan!

Manakala Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat telah melantik seorang arkitek wanita; Patahiyah Ismail sebagai Yang DiPertua (YDP) Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang akan berkuatkuasa pada 1 Mac 2010 ini.

Kerajaan-Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat merealisasaikan manifestonya dengan mengamalkan kesaksamaan gender – pemohon jawatan perkhidmatan awam lebih ramai wanita daripada lelaki adalah selaras jika diukur dari purata lingkungan 65 peratus pelajar wanita yang memasuki universiti. Dengan memberikan layanan yang sama-rata kepada semua rakyat berdasarkan kebolehan tanpa diskriminasi kaum, agama, jantina dan latar belakang; maka Kerajaan-Kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat berupaya menggembeling kesemua sumber-sumber yang ada untuk membangunkan negeri dan mengelakkan pembaziran sumber manusia yang merugikan negara secara keseluruhan.

Jika dilihat di antara objektif CUEPACS sebagai kesatuan sekerja adalah ’berusaha memperbaiki keadaan-keadaan kerja bagi anggota-anggotanya’; maka kenyataan Setiausaha Agungnya dan pencapaian CUEPACS selama ini, jelas membuktikan rendahnya tahap komitmen CUEPACS dalam memperjuangkan kepentingan pekerja wanita dalam sektor awam dengan berkesan secara berterusan. CUEPACS sepatutnya berusaha memperjuangkan persekitaran kerja yang lebih kondusif bagi wanita setelah mendapati terdapat ramai pekerja wanita dalam sektor awam! Sepatutnya CUEPACS menuntut agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KWKM) membentangkan cadangan untuk meningkatkan kualiti keadaan kerja seperti keselamatan, pengangkutan dan lain-lain kemudahan bagi mengekalkan dan meningkatkan kualiti, kuantiti dan komitmen penjawat awam wanita yang ramai itu dalam tugas masing-masing.

Kini persoalan timbul – adakah kenyataan Setiausaha CUEPACS itu dibuat untuk kepentingan anggota-anggotanya yang kini terdiri dari ramai penjawat awam wanita?

Jelas CUEPACS telah terpesong jauh dari memperjuangkan kepentingan anggotanya sendiri!

Maka tidak hairanlah kedudukan Malaysia dalam laporan Gender Gap Index tahun 2009 jatuh melorot ke tangga 101 daripada 134 buah negara (Malaysia berada dalam kedudukan tangga ke 96 dalam tahun 2008). Iklim untuk wanita di negara ini mengembangkan potensi diri masih lagi ‘lembap’ malah bertambah teruk kecuali di negeri-negeri yang ditadbir-urus oleh Pakatan Rakyat.

CUEPACS bukan setakat gagal memberi pengiktirafan kepada sumbangan penjawat awam wanita tetapi gagal memberi perhatian terhadap masalah yang lebih besar iaitu ’ketirisan’ dalam sektor awam seperti yang telah dilaporkan oleh Laporan Audit Negara. CUEPACS seharusnya melihat anggota-anggotanya sebagai pemangkin kepada pembangunan negara dengan memperbaiki masalah pembaziran sumber kewangan negara; bukan menghalang kemajuan penjawat awam wanita!

Wanita KEADILAN berharap agar CUEPACS berhenti menidakkan kebolehan, keupayaan dan sumbangan wanita dalam perkhidmatan awam dan mencontohi Kerajaan-Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat yang berusaha meningkatkan faedah dan keadaan-keadaan kerja pekerja di sektor awam.

Kepada semua penjawat-penjawat awam wanita; Wanita KEADILAN dan Wanita Pakatan Rakyat menghulurkan tangan untuk anda mengembangkan potensi diri ke tahap pembuatan keputusan, tanpa diskriminasi, dengan bernaung di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti!

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN

Ketua Wanita KEADILAN

Ahli Parlimen Ampang

4 comments:

  1. They didn't realized that it is really show their stupidity. Bravo YB !

    ReplyDelete
  2. Wanita berkuasa mereka takut tapi tidakkah mereka sedar "kuasa" seorang "BIG MAMA" dalam pemerintahan Kerajaan UMNO sekarang ini ?

    spongebob SQUAREPANTS Female

    ReplyDelete
  3. Wanita - sumber inspirasi. Tanpa wanita LELAKI itu tiada siapa-siapa !!

    Ratuku

    ReplyDelete
  4. Agaknya kaum lelaki ini takut dengan kebolehan kaum wanita ? Takut dengan kecerdasan kaum hawa yang mungkin boleh menandingi mereka ?

    ReplyDelete