Artikel ini ditulis oleh Hilal Asyraf.~Terima kasih kerana redha untuk disebarluaskan.
Ramai yang bertanya kepada saya fasal Facebook. Ramai. Mereka kata, Facebook ini adalah penyumbang besar kepada yahudi, maklumat kita akan wujud di tangan CIA dan facebook ini juga membantu pembunuhan saudara kita di Palestin. Tetapi saya berdiam diri.
Mungkin ada yang menyangka saya berdiam diri kerana saya sendiri ada akaun Facebook. Maka saya sendiri mungkin disangkakan takut menghadapi kebenaran.
Berangsiapa yang punya sangkaan demikian, maka bolehlah memadamkannya sekarang. Saya hakikatnya bersedia mendelet akaun facebook saya bila-bila masa sahaja sekiranya benar ada bukti kukuh yang terang dan jelas bahawa Facebook menyumbang kepada pembunuhan saudara kita di Palestin. Senyap saya adalah kerana saya kurang maklumat dan ilmu untuk membahaskan perkara ini.
Tetapi kini, dua senior saya dari segi pengajian di Jordan, juga senior saya di alam maya ini sudah bersuara – Ustaz Hasrizal dan Ustaz Zaharuddin – berkenaan hal ini. Maka kali ini saya akan membicarakan perihal Facebook dengan apa yang sebenarnya selama ini saya pendam.
Silakan membacanya, dengan hati yang terbuka. Kita Mulakan Dengan Hukum
Apa hukum menggunakan Facebook? Mudah cerita, apa hukumnya berurusan dengan orang yahudi dan nasrani? Hukumnya yang asal adalah dibenarkan.
Ada hadith meriwayatkan seperti berikut:
“Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang yahudi dengan pembayaran secara bertangguh dan mencagarkan baju besi baginda SAW” (Riwayat Al-Bukhari, no 2326, 2/841)
Allah SWT pula berfirman:
“Pada hari ini dihalalkan bagi kamu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi al-kitab itu halal bagi kamu, dan makanan kamu halal pula bagi mereka. (Dan dihalalkan pula untuk mengahwini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al-Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar maskawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menadikan mereka gundik-gundik…” Surah Al-Maidah ayat 5.
Di sini kita melihat betapa perkahwinan dan jual beli itu dibenarkan antara kita dengan golongan ahli kitab, yakni mereka yang beriman dengan kitab-kitab samawi yang diturunkan Allah SWt sebelum Al-Quran, seperti Taurat dan Injil.
Perbincangan ini tidak akan cukup sekadar menonjolkan dua ayat ini. Saya harap, anda bergerak membaca artikel Ustaz Zaharuddin sendiri di link berikut:
http://www.zaharuddin.net/fiqh-kewangan-kerjaya/hukum-mcdonald-kfc-maxis-syarikat-yahudi.htmlKesimpulan yang anda akan dapat adalah, bahawa, kita ini dibenarkan untuk membeli, menjual, mengguna pakai produk ciptaan orang bukan Islam, termasuklah Yahudi, selagi mana ia berada dalam lingkungan halal.
Justeru, hukum menggunakan Facebook, asalnya adalah halal.
Yang Menjadikannya Haram:
1. Bila ada bukti dan diisytiharkan oleh mereka sendiri. Facebook, hanya akan menjadi haram apabila sah Mark Zuckerberg (Pengasas Facebook) membuat peerjanjian hitam putih dengan Israel untuk menghapuskan saudara-saudara kita di Palestin. Masalahnya sekarang, perkara itu tidak dapat dibuktikan.
Lebih mengecewakan, Majalah Al-Islam yang dikeluarkan pada September 2009 telah mengeluarkan artikel bertajuk seperti berikut: “Zuckerberg Guna Facebook Untuk Bunuh Penduduk Palestin”
Ini satu tajuk, dan di dalam tajuk ini ada unsur tuduhan. Malangnya, di dalam artikel yang bertajuk ‘panas’ itu, tidak disertakan bukti untuk menyokong apa yang dibawa oleh tajuknya. Yang ada hanyalah kenyataan berikut:
“Pun begitu sebelum pengharaman oleh dua buah negara tersebut dibuat, wujud desas-desus yang mengaitkan penglibatan laman web tersebut dalam membiayai peperangan di Gaza”
Apakah makna desas-desus? Khabar angin yang tidak punya asas yang kukuh.
Lainlah jika Facebook mengisytiharkan sumbangannya kepada Yahudi Israel seperti mana Starbuck. Untuk Starbuck, sememangnya mereka sendiri mengiystiharkan, tanpa perlu sebaran khabar angin orag ramai dan desas-desus itu ini. Di situ, barulah kita boleh mengharamkan Facebook.
Mungkin kamu akan kata pada saya: “Mungkin Facebook ini tidak mereka isytiharkan sedemikian. Sembunyi-sembunyi aja ke?”
Jika begitu, ia sudah memasuki perbincangan lain. Ummat Islam tidak diberatkan untuk menghukum apa yang tidak dilihatnya, apa yang tidak diketahuinya. Kalau ingin menyelidik, dipersilakan. Tetapi, bila dah selidik, dan tidak pula kita berjumpa dengan apa yang mengharamkannya, jangan pula kita terus berprasangka – “Entah-entah dia sembunyikan haram tu di mana-mana” – terus berprasangka inilah yang menjadi masalah.
Statement Ustaz Zaharuddin adalah:
“Jika ada pula yang mengarahkan saya membuat kajian dan mencari bukti-bukti itu sebelum memberikan pandagan berkenaan status hukum, justerus boleh saya katakan, kajian telah dibuat dan kami gagal MENDAPATI sebarang bukti untuk menyokong andaian-andaian pihak yang membuat andaian. Jika dikatakan:
Bukti bertulis tentulah dirashaiakan oleh pihak syarikat facebook dan mereka memberikan sumbangan secara senyap-senyap.
Maka jika demikian, Islam tidak memberatkan kita untuk membuat andaian dalam hal seumpaman ini. Jika andaian sedemikian masih ingin digunakan, kelak mengakibatkan kesukaran berat(mashaqqah) buat seluruh umat Islam pada banyak perkara dan aktiviti lain, kerana larangan dan andaian juga akan terpakai buat semua penjual bukan Islam beragama Hindu, Kristian, Budha dan lainnya. Penjual-penjual tersebut juga boleh diandaikan menyumbang kepada gerakan melawan Islam secara senyap. Akhirnya kita terperangkap dengan kekerasan fatwa kita sendiri, sehingga bermusuh dengan semua tanpa bukti yang jelas.
Oleh kerana itu, selagi tidak disertakan dan tidak mampu dihadirkan bukti bertulis, selagi itulah hukum adalah HARUS untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika berjual beli pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun Facebook.
Cuma mungkin keharusan berurusan dengan barangan yahudi, boleh menjadi makruh atau syubhat ketika wujudnya peperangan dan serangan ke atas umat Islam. Ini memerlukan penelitian ‘case by case’.”
Jadi bagaimana sekarang? Saya mahu anda membuat penilaian.
Yang Membuatkannya Haram:
2. Diri Anda Sendiri
Soalan mudah saya lontarkan kepada diri saya dan anda. Kenapa anda menggunakan Facebook?
Satu lagi soalan mudah. Bagaimana anda menggunakan Facebook? Facebook boleh menjadi haram, apabila ia anda gunakan sehingga melontarkan diri anda kepada kerosakan dan kehancuran. Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu melontarkan diri kamu ke dalam kerosakan” Surah Al-Baqarah ayat 195.
Justeru, kalau kita menggunakan Facebook sehingga kita meninggalkan solat, kita gunakan Facebook sehingga merosakkan Aqidah, kita guna Facebook sampai rosak studi kita, kita gunakan Facebook sampai satu tahap tidak keluar rumah langsung, dan perkara-perkara di sekitaar perkara-perkara yang saya sebutkan ini. Kalau semua ini, atau salah satu daripadanya berlaku ke atas diri kita, maka haramlah Facebook itu ke atas kita.
Siapakah yang menjadikannya haram dari digunakan?
Kita. Saya ulang, kita.
Diri kita sendiri. Ya, cuba anda lihat bagaimana anda menggunakan Facebook hari ini?
Andai main pukul-pukul bantal yang tak ada manfaat, anda main ramal-ramal yang merosakkan Aqidah, anda main kuiz itu kuiz ini yang langsung tidak membuahkan apa-apa makna, anda buat ramalan mati bila la, anak berapa la, yang langsung tak memberikan anda apa-apa, kemudian anda habiskan masa anda main game yang ada di dalamnya sehingga terbuang banyak masa, belum lagi kita ungkit perihal hubungan lelaki perempuan yang anda tidak jaga dan sebagainya.
Sekarang, anda guna Facebook itu bagaimana?
Itu soalan saya.
Di sini, saya suka utarakan statement Ustaz Hasrizal:
“Berbeza dengan Facebook, rakan-rakan yang lebih ‘sekepala’ dan ‘seusi’ bertambah dari semasa ke semasa melalui Facebook dan ia sangat berkesan dalam usaha ‘menjejak kasih’ teman-teman lama dari seluruh dunia.
Keadaan ini sedikit demi sedikit berubah apabila semakin ramai pengguna internet Malaysia menyertai Facebook.
Saya tidak pasti apakah yang patut dituding kesalahan. Apakah kerana kelompok yang membanjiri Facebook kebelakangan ini adalah remaja bermentaliti kebudak-budakan, atau mereka bekas pengguna Friendster, atau mereka mewakili satu ngomelan tentang budaya kurang sihat di Malaysia yang disebut sebagai ‘First Class Facility with The Third Class Mentality’. Facebook mula comot dengan pelbagai aplikasi seperti kuiz, permainan dan pelbagai fungsi yang menghilangkan hemah Facebook selama ini.”
Ya, itulah hakikatnya. Siapakah yang menjadikan Facebook ini haram? Apa kata sebelum anda kata Facebook itu menyumbang kepada pembunuhan di Palestin (yang sekarang anda tiada bukti berkenaannya), anda rujuk semula apakah kerosakan yang telah anda lakukan kepada diri anda dengan menggunakan Facebook?
Facebook dan CIA
Dalam hal ini, jangan anda cepat melatah. Kaitan Facebook dengan CIA tidaklah meletakkan ia sesuatu yang haram digunakan. Memandangkan di dalam perjanjian terma dan syarat yang wujud pada Facebook, mereka memang menyatakan bahawa mereka mempunyai hak atas perkara itu.
Mereka memang dah deklarasikan bahawa mereka berhak menyebar maklumat kita kepada mana-mana syarikat, mana-mana agen, sama ada CIA, Mosad, FBI, ataupun SB mana-mana negara.
Dan untuk pengetahuan anda, tidaklah perlu kita kecilkan perkara ‘dedah maklumat’ ini kepada Facebook sahaja. Hakikatnya, di dalam internet tiada apa yang dinamakan – rahsia antara kita-kita –
Sebaik sahaja anda mendaftar ke dalam YahooMail, Gmail, atau mana-mana laman web sosial seperti Friendster, Facebook, Tagged, Hi5 dan sebagainya, anda hakikatnya telah mendedahkan maklumat anda kepada semua.
Tidak perlu susah payah merentas coding yang berserabut, kalau CIA mahu mencari anda, mereka hanya perlu menulis nama anda di google, dan mereka akan berjumpa. Dari situ, baru mereka akan teruskan penyiasatan mendalam, memecahkan kod e-mail anda, dan menyemak profil anda.
Jadi, kalau kaitan Facebook dengan CIA menyebakan anda hendak menyatakan bahawa Facebook adalah haram, maka hakikatnya, kita ini haram menggunakan internet sepenuhnya.
Bagaimana? Saya dan Facebook
Saya menggunakan Facebook, hanya kerana ia alira terkini masyarakat. Tambahan, Facebook lebih bagus dari Friendster dalam sistemna. Facebook juga tempat berkumpul ramai orag. Jadi kerja saya, selain menulis Wall yang bermanfaat, saya akan menyebarkan artikel-artikel saya seluar yang mungkin.
Saya juga menggunakan sistem foto di dalam Facebook untuk mengupload semua gambar-gambar saya agar boleh diuploadkan pula ke website Langit Ilahi, memandangkan sistem upload terus gambar dari file komputer ke dalam website Langit Ilahi mempunyai masalah kebelakangan ini.
Selain tiga perkara itu – Wall, upload, sebar artikel – Facebook hanya saya gunakan untuk berhubungan dengan rakan-rakan. Habis cerita.
Saya tidak main apa-apa kuiz, saya juga tidak mempertaruhkan aqidah saya dengan meramal itu dan ini, saya tidak main apa-apa game di dalam Facebook. Saya hanya gunakan Facebook, dengan penggunaan yang saya rasa berpatutan.
Tidak melebih-lebih.
Facebook di mata saya hanyalah alat. Alat untuk saya pergunakannya. Bukanlah saya gunakan Facebook, untuk Facebook pula menggunakan saya.
Itu saya. Dan apa-apa sahaja perkara dunia, saya gunakan demikian gayanya.
Kalau anda tidak berpuas hati dengan kenyataan saya berkenaan cara saya menggunakan Facebook, maka anda boleh tanya sesiapa sahaja dari 2020 rakan saya di Facebook berkenaan hal ini dan membuktikannya.
Penutup: Saya Tidak Berkata Lebih Dari Ilmu Saya
Ini satu perkara yag pelawat Langit Ilahi perlu ambil perhatian. Saya Hilal Asyraf, bukannya orang berilmu luas dan dah lama makan garam dalam kehidpan macam Ustaz Hasrizal dan Ustaz Zaharuddin. Saya juga belum habis studi, dan masih baru hendak berjinak-jinak dengan alam ulama’. Ustaz Hasrizal dan Ustaz Zaharuddin kedua-duanya belajar di Jordan satu masa dahulu. Saya ini baru sahaja hendak meniti permulaan perjalanan hidup mereka.
Jadi, saya tidak suka anda menganggap Langit Ilahi adalah penamat kepada sesuatu pendapat. Saya ada kemungkinan betul, dan saya juga ada kemungkinan silap. Cuma saya katakan, hanyalah apa yang berada dalam lingkungan ilmu saya. Sebab itu, saya tidak akan mengupas isu semasa yang di luar jangkauan ilmu saya. Ada pula sesuatu perkara itu, saya lewatkan perbahasan berkenaanya, kerana saya perlu kaji semula dan membuka kitab-kitab untuk mencari yang sohihnya.
Bukan semua perkara saya terus lancarkan atas lidah, menulis atas website. Ini amanah saya sebagai manusia yang hendak mengajak dirinya dan manusia lain kembali kepada Allah SWT. Saya tidak akan mereka-reka perkara palsu semata-mata hendak menarik pelawat datang ke website saya. Biarlah website saya seorang sahaja pelawatnya, asalkan saya tidak berkata sesuatu yang bukan pada saya kebenaranya.
Saya senang lagi, kalau perihal Facebook ini anda rujuk kepada Ustaz Hasrizal dan Ustaz Zaharuddin. Pendapat saya dalam artikel ini, sebahagian besarnya adalah hasil pembacaan saya dari dua senior saya itu.
Link keduanya adalah seperti berikut:
1.
http://saifulislam.com/?p=67142.
http://www.zaharuddin.net/bahasa-articles/facebook-yahudi-status-hukum.htmlSekian.