Tuesday, January 19, 2010

Mencari Kesepakatan Dan Memperkukuh Dakwah

Oleh Anwar Ibrahim


Alhamdulillah wacana berhubung penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam,di kediaman saya berjaya dilangsungkan dalam suasana ukhuwah yang mesra dan bertunjangkan hasrat demi kemaslahatan umat Melayu dan Islam di Malaysia. Kehadiran sahabat lama dan juga generasi pelapis yang muda menjadikan wacana malam ini pentas berkongsi pandangan serta memperkemaskan usaha dakwah. Manakala itu pandangan ulama, Ilmuwan, ahli politik serta wakil organisasi tambah memberkati majlis malam tadi.

Sememangnya majlis seperti ini pastinya tidak sunyi dari hujah dan dalil. Apatah lagi ianya menyangkuti isu yang menjadi perhatian segenap lapisan rakyat, baik muslim atau bukan muslim. Kehangatan perdebatan dan ketajaman hujah yang dihunus menjadikan wacana semalam seumpama kolam yang melimpah airnya. Ilmu yang dikongsi pastinya membuahkan manfaat manakala diakui kegusaran umat Islam terhadap kegagalan pimpinan umno meninggikan syiar serta memperhebat usaha dakwah.

Apa tidaknya demi kelansungan kekuasaan, pimpinan umno membaluti isu ini dengan sentimen politik perkauman sempit di samping gagal membenihkan kefahaman jitu. Jika yang dibahas umno itu isu prinsip asas keyakinan umat Islam, budaya Melayu dan undang-undang negara; mengapa – Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang mahu pula dibenarkan.

Tatkala negara berada di persimpangan sebegini, jalan yang dipilih adalah di atas pertimbangan politik semata. Mengapa tidak disiarkan pandangan ulama seperti Syeikh Yusuf al Qaradawi dan Syeikh Wahbah yang bertentangan dengan aliran propaganda murahan pimpinan umno? Kerana mereka menuntut keadilan buat saya? Kerana pandangan mereka tidak menguntungkan kerajaan? Yang pasti, hadirin bersetuju usaha gigih menegakkan Keadilan dan melawan kezaliman merupakan sebahagian dari usaha memperhebat syiar Islam.

No comments:

Post a Comment